Tips untuk mengelakkan kerja bertangguh.
Akar umbi kepada permasalahan ini ialah pengurusan masa. Masa yang gagal diurus dengan baik, akan menyebabkan banyak perkara gagal diselesaikan dalam masa yang sepatutnya atau langsung tidak dapat dilakukan. Bercakap pasal ini memang mudah, membaca pasal ini tidak payah, tapi mengubahnya memerlukan keazaman yang tinggi (macam ayat dalam buku teks biologi, ingat?).Jadi, entri aku pada kali ini ialah sebagai tempat rujukan bagi aku sendiri tentang tips bagaimana mengatasi maslaah ini.
1. Sentiasa sedar tentang masa.
Masa yang lepas tidak akan dapat dilalui semula. Apa yang terjadi telahpun terjadi. Menyesali apa yang terjadi tanpa mengambil pengajaran hanyalah menambah kepada masa yang telah dibazirkan. Oleh itu, sedarlah tentang masa. Kesedaran yang aku maksudkan di sini sangat straight to the point.
Bagi aku ada dua alat yang dapat membantu kita sedar tentang masa, selagi mana jam biologi dalam badan kita belum disetkan mengikut jadual yang sepatutnya. Dua alat itu ialah, kalendar dan jam.
“Hari ini berapa haribulan?“. Pernahkah kita bertanya soalan sebegitu? Itu maknanya kita tidak peka terhadap perjalanan masa. Kita tidak sedar berapa hari bulan, dan mungkin juga hari ini hari apa. Kalau kita berada dalam situasi ini, segeralah mengambil sikap berhati-hati.
Sediakan kalendar sebanyak mungkin. Mungkin kita perlua ada planner untuk merekod dan merancang aktiviti seharian (manual atau digital). Mungkin kita perlu gantung kalendar di bilik, di pejabat, atau kalender kecil di kereta. Ya, dengan adanya smartphone kalendar maya itu boleh dibawa keman – mana, cuma tak semua orang boleh memanafaatkan teknologi yang terlampau mudah. Jadikan ia sedikit susah, untuk memberi sedikit ‘nilai’ kepada usaha kita.
Aku dahulu tidak memakai jam tangan, bukan kerana aku terlampau miskin untuk membelinya, tapi sebab aku merasakan ianya tidak perlu. Kemana sahaja aku pergi, jam sudah ada di dinding, paling tidakpun, orang sebelah pasti memakai jam. Jadi aku tak perlu pakai sendiri, sebab kalau aku nak tahu pukul berapa, lihat atau tanya sahaja.
Itulah pemahaman aku yang salah. Memiliki jam sendiri akan menyebabkan kita lebih peka kepada masa. Sudah pukul berapa, sedah berapa lama menghadap komputer, berapa jam lagi sebelum berbuka. Lebih mudah kalau jam sentiasa ada di tangan, bukan?
Dalam sejarah pemakaian jam tangan aku, aku merasakan ‘jam jarum’ lebih aku sukai berbanding jam digital. Bukan kerana rupa bentuk elegannya, tapi lebih kerana aku dapat menganggar waktu dengan lebih baik. Sekali jeling, aku tahu aku ada lima belas minit lagi untuk masuk pejabat sebelum punch card bertukar merah.
Habis pasal kesedaran terhadap masa.
2. Mempunyai sasaran, target, atau goal.
Ini adalah kesedaran yang paling penting pernah aku pelajari. Bayangkan dua pasukan bola sepak berlawan, bagi pasukan A, dalam sebelas pemain itu, seorang pun tidak tahu dimakah tiang goal pihak lawan, manakala pasukan B pula kesebelas-sebelasnya tahu diamanakah tiang gol pasukan lawan, siapa akan menang?
Bila sebut tentang sasaran, aku dulu selalu membayangkan nak hidup mewah, rumah besar, kereta best. Salahkah? Tak salahpun, dan aku yakin ramai yang ‘sekapal’ dengan aku. Baca dulu analogi seterusnya ini.
Bayangkan seorang remaja, sedang ponteng sekolah, bersandar di dinding belakang blok, sambil menghisap sebatang rokok. Sedang asyik dia menikmati sedutan nikotin itu, dia berfikir tentang masa depannya, datang kesedaran. “Aku ingin masuk marathon”. Kebetulan, esoknya ada acara marathon dan tarikh tutup penyertaan ialah petang itu.
Setelah kelam kabut berdaftar, subuh esoknya, remaja itu telah bersedia di garisan permulaan. Seumur hidupnya, dia tidak pernah berjogging apatah lagi mewakili rumah sukan untuk sebarang acara olahraga. Apa akan terjadi dalam acara marathon hari itu?
Tidak salah memiliki sasaran yang besar, cita-cita yang tinggi. Kalau tiada sebutir pasir pun, orang tidak akan panggil pantai, tapi kalau ada pantai yang kehilangan sebutir pasir, ia tetap pantai. Maksud aku mudah sahaja, cuma sengaja aku putar belikkan ayat dengan niat yang tersembunyi.
Kalau tiada cita-cita yang besar, atau sasaran yang utama itu masih jauh, kita buatlah perkara yang kecil – kecil dahulu. Target yang simple yang adapat dilakukan dalam jangkamasa yang pendek.
Kalau 20 tahun dari sekarang terlampau jauh, cuba 20 minit. Contohnya, dalam amsa 20 tahun anda ingin menjadi penulis terkenal, apa kata letakkan sasaran dalam amsa 20 minit lagi anda ingin siapkan satu entri blog. Contoh sahaja.
Sebab contoh ini membawa kepada point aku seterusnya.
3. Berakit – rakit ke hulu, berenang – renang ketepian.
Setiap perkara kecil yang dibuat secara berulang dan konsisten akan mewujudkan sesuatu yang di panggil tabiat ataupun habit. Ini adalah program semula jadi dalam setiap manusia, dan haiwan. Sebab itu haiwan boleh dilatih.
Bermulalah dengan sekecil perkara, untuk membawa kepada perkara yang lebih besar. Otak manusia secara semulajadinya menentang perubahan, yang baik atau yang buruk. Ini adalah mekanisma pertahanan semulajadi manusia.
Untuk mengelakkan otak ini ‘terkejut’ kita perlu melatihnya secara halus agar halangan yang besar kepada otak itu tidak lagi terasa besar, kerana ia telah menjadi habit kepada kita.
Contohnya jika bilik kita bersepah. Kita akan berkemas sekaligus, dan seminggu kemudian, ia bersepah kembali. Kita sebenarnya cuba melakukan penyelesaian yang tidak menjurus kepada masalah pokok kita. Bukan bilik bersepah masalah utamanya, itu adalah simptom atau tanda kepada tabiat kita yang tidak mengambil peduli dimana barangan kita diletakkan setelah digunakan.
Walaupun kita berusaha sepenuh tenaga mengemasnya, otak kita tahu, tak mengapa unutk terus bersepah kerana minggu hadapan kita akan berkemas lagi. Cuba kita ubah pendekatan, dengan membiarkannya bersepah, dan tidak mengemas kesemuanya, tapi hanya mengemaskan satu perkara sahaja. Contohnya menyangkutkan tuala ke tempatnya.
Setelah seminggu kita berjaya tanpa gagal membuat satu perkara itu, tambah satu perkara lagi, sehinggalah tabiat atau habit itu datang secara semulajadi. Kelihatan mudah, tapi ramai yang gagal, kenapa? Setelah dua minggu berjaya menyangkut tuala, bukan tambah perkara baru, tapi sebaliknya kembali kepada asal. Kenapa?
Kerana kita tidak keep track atau merekodkan perkembangan kita.
4. Rekodkan kejayaan (dan kegagalan).
Perubahan perlu di pantau. Masih ingat konsep muhasabah? A slice of cake does not ruin a diet. Pegang dua prinsip ini. Sentiasa mengambil tahu perubahan diri, dan memaafkan diri atas kesilapan yang sekali sekala berlaku selagi mana kita masih berusaha berubah.
“Rekodkan” tidak semestinya dengan buku. Apa sahaja cara yang sesuai boleh digunakan untuk merekodkan kejayaan benda – benda yang anda ingin ubah. Sebolehnya biarlah idea ini datang dari sendiri, kerana itulah cara paling selesa bagi kita untuk memerhatikan perubahan diri.
Jika tiada idea, mungkin cadangan ini boleh diambil sebagai panduan. Cara paling kalsik ialah diari. Jika anda seorang kaki gadget, mungkin apps seperti Rewire boleh membantu. Ataupun tandakan sahaja pada kalendar.
Konsep reward and punishment mungkin boleh digunapakai. Hadiahkan diri sendiri sesuatu sekiranya anda berjaya melakukan perkara kecil tadi secara berturut selama tempoh waktu yang anda tetapkan.
Untuk berani berubah, kita perlu berani gagal.
Bagi peminat cerita Allahyarham P.Ramlee, dialog “belom coba, belom tau” mungkin tergiang di telinga. Apa yang dikongsikan di atas adalah cara yang boleh dicuba. Di dalam dunia ini tiada yang betul atau salah. Yang ada cuma halan dan haram sahaja. Insyallah jika ada kesempatan mungkin ada siri kedua post ini.

0 Response to "MESTI BACA!! Cara – cara mengatasi penyakit berlengah (procrastination).."
Post a Comment